Buat kali ke-54 seluruh rakyat jelata tanpa mengira bangsa dan agama menyambut tarikh 31 Ogos bagi sama-sama mengingati hari kemerdekaan negara. Senyuman manis terus terukir di bibir dan perasaan gembira memenuhi sanubari atas nikmat kemerdekaan yang telah dicapai ketika adanya negara yang terus terjajah dan baru dijajah. Namun begitu sorak sorai dan tempikan melaung kalimah merdeka tidak mampu menutup banyak masalah sosial yang terus menghantui negara. Merdeka disambut tanpa dapat membezakan antara untuk menyatakan kegembiraan atas nikmat merdeka disamping mengingati jasa para pejuang kemerdekaan atau hanya tahu berseronok sahaja tanpa mengenali hakikat kemerdekaan dan siapa diri kita yang kebanyakannya terus sesat dengan budaya penjajah yang merosakkan. Jika perkara yang baik diambil daripada penjajah maka ia tidak mendatangkan bahaya sebaliknya kebanyakan yang diambil ialah barangan buangan penjajah sendiri termasuk cara berpakaian yang tidak mencerminkan sebagai seorang insan yang bermaruah serta akhlak yang teruk mengalahkan binatang. Apakah merdeka hanya setakat bebas untuk berseronok tanpa menghiraukan apa yang sepatutnya diperolehi dan dicapai oleh sesebuah bangsa yang merdeka. Adakah merdeka bagi umat Islam hanya setakat bertambahnya masjid untuk solat sedangkan umat Islam selepas merdeka lebih suka meninggalkan solat apatah lagi untuk menghampiri masjid ditambah lagi dengan serangan terhadap majlis ilmu di masjid lebih bacul daripada penjajah.Oleh itu tanyalah diri sendiri apakah cukup setakat menyambut merdeka dengan hanya mengibar bendera dan menjerit kalimah merdeka sedangkan hakikat kemerdekaan tidak dihayati dengan sebaiknya. Adakah kita boleh dakwa bahawa diri kita sudah mengenang jasa pejuang kemerdekaan sedangkan apa yang mereka benci iaitu penjajahan sistem dan budaya yang merosakkan Islam semakin subur terutama ketika menyambut kemerdekaan.
Takhta dan harta dianggap sebagai lambang kehebatan seseorang tetapi ia boleh menyebabkan seseorang itu mulia dan dalam banyak keadaan akan menyebabkan manusia menjadi hina di dunia dan akhirat. Apabila takhta dipegang oleh orang gila kuasa dan orang yang gila harta dunia tanpa menghiraukan garisan agama akan menyebabkan rakyat hanya boleh melaungkan merdeka sedangkan mereka dijajah oleh bangsa mereka sendiri. Apabila manusia boleh dijual beli melalui rasuah dan sebagainya maka rakyat akan merana apabila banyak kebenaran dibenamkan oleh kesesatan, keadilan ditelan oleh kezaliman, sifat kemanusiaan ditenggelam oleh nafsu kebinatangan. Keadaan negara menjadi kacau bilau apabila manusia tidak lagi mempercayai antara satu sama lain kerana masing-masing boleh dibeli seperti  binatang ternakan. Orang yang amanah didustakan manakala pembohong dijadikan pimpinan yang disanjung. Pemimpin yang terbaik bagi masyarakat yang telah rosak ini ialah bukan daripada kalangan orang yang berilmu dan bertaqwa tetapi dari kalangan orang jahil tetapi pandai menyembunyikan kejahatan mereka di mana pandangan akal mereka berteraskan nafsu sentiasa digunakan dalam melawan kebenaran wahyu. Sayyidina Umar al-Khottab pernah berpesan kepada pemimpin negeri dan masyarakat yang telah dilantik dalam suatu majlis di mana katanya: Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertaqwa. Kerana tanpa taqwa maka kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat. Aku juga sangat kecewa kepada orang taqwa tetapi dungu kerana itu membuatkan dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna. Oleh itu kita mesti lahir sebagai orang yang bijak dan bertaqwa agar masyarakat ini dapat dibina dengan baik. Penjajahan pemimpin yang jahil dan sesat tidak dapat dirasai dan disedari melainkan oleh masyarakat yang berilmu sehingga dapat membezakan antara tuntutan wahyu dengan hasutan nafsu serta bertaqwa kepada Allah.
Kerosakan akhlak yang kini semakin serius di sekolah mencacatkan lagi sambutan merdeka. Keganasan dalam bertindak serta melampau dalam tingkah laku generasi muda yang bakal memimpin negara lahir dicelah-celah kerakusan pemimpin dalam mempertikaikan keadilan Allah, penghinaan terhadap nabi Muhammad s.a.w, kebiadapan terhadap para ulama' serta tekanan yang hebat terhadap pusat pengajian agama ditambah dengan serangan terhadap pakaian ulama'. Pelajar di sekolah yang kini telah dikurangkan pelajaran agama ditambah dengan pencantuman antara pendidikan moral dan sivik atas alasan untuk selaraskan semua agama telah membawa kesan yang buruk tetapi kerana agenda politik maka ia disembunyikan. Mereka bagaikan mahu menutup kelemahan dengan membina bangunan sekolah yang tinggi dan indah sedangkan pelajar di dalamnya hilang harga diri dan punah.Jika pemimpin sentiasa menghina keadilan perundangan Allah maka kini mereka dicuba di mana sistem mereka telah melahirkan binatang daripada insan. Jika pemimpin menghina nabi maka kini pelajar membenci sunnah nabi dan kebanyakan suruhan agama yang dibawa oleh nabi. Jika pemimpin memerangi ulama' maka kini pelajar bukan sahaja tidak hormat pada guru malah bertindak ganas menyerang guru. Jika pemimpin melarang daripada berpakaian cara ulama' maka pelajar lebih suka berpakaian ala barat yang menjolok mata dan meloyakan. Jika pemimpin tanpa rasa takut dan malu menghina Islam maka pelajar tanpa rasa bimbang untuk meninggalkan kewajipan agama. Masalah bertambah parah bila pelajar mengikut jejak langkah pemimpin yang teruk. Oleh itu dalam menangani masalah keruntuhan akhlak di kalangan pelajar maka pemimpin mesti terlebih dahulu menunjukkan contoh teladan yang baik dengan berakhlak mengikut ajaran Islam serta menambahkan lagi pengajian agama di sekolah bukan membuangnya. Selepas itu hidupkan suasana masyarakat yang berpegang kepada agama agar pelajar dapat menjaga peribadi semasa berada dalam pagar sekolah dan di luarnya. Islamlah pemimpin barulah rakyatnya patuhi ajaran Islam.

Categories:

Leave a Reply